Selamat Datang ke Blog Sensei!
Alhamdulillah, cecah sehari blog The Sensei "lahir", sudah mencecah 400 views. Terima kasih atas sokongan sahabat-sahabat semua. Bila nampak ramai yang semangat nak membaca perkongsian sensei, sensei dua kali semangat nak berkongsi dengan sahabat-sahabat semua.
Harap post sensei yang pertama tentang bagaimana mencari tajuk kajian membantu serba sedikit memberi idea ya. (Langkah Praktikal Mencari Tajuk Kajian)
Kenalpasti Pembolehubah
Pagi-pagi hari ini ada sahabat yang mesej, dah dapat idea untuk tajuk kajian selepas baca artikel di blog sensei. Terus beliau tanya "Sensei, lepas dah dapat tajuk kajian..nak buat apa? Nanti sensei share tau" Fuhh... tak sabar-sabar tuh nak ke next step. Betullah tu, bila dah dapat gambaran tajuk, maka nak buat apa pulak selepas itu. Ok, mengikut pengalaman peribadi sensei bila dah dapat gambaran awal tajuk, buat dua langkah ini:
- Tulis dengan jelas tajuk tersebut
- Kenalpasti pembolehubah (bersandar = dependent variable, DV & pembolehubah tidak bersandar = independent variable, IV).
Sejujurnya kalau cepat-cepat nak cakap memang boleh tunggang terbalik IV dengan DV ni. Sensei sampai sudah tersasul-sasul bila nak sebut IV dan DV...Hehe.
Contohnya, sensei ambil tajuk tesis sensei "Development of Problem Posing Multimedia Module and Its Effectiveness to Enhance Student Performance in Form Four Biology". Kenalpasti IV dan DV. Student performance dipengaruhi oleh Problem Posing Multimedia Module. Makanya:
IV : Problem-Posing Multimedia Module
DV : Student Performance
Ini adalah IV dan DV yang utama. Ini untuk sekurang-kurangnya kita sudah boleh mula menulis. Sudah tentu kita perlu kenalpasti beberapa lagi DV untuk menjadikan kajian kita lebih komprehensif. Ini boleh didapati daripada bacaan yang intensif dari pelbagai sumber dan perbincangan bersama komiti.
Analogi Cirit-Birit
Suspen betul tengok tajuk cirit-birit ya. Sabar..hehe.
Dah selesai bab tajuk, langkah seterusnya ialah mengenalpasti isu kajian dan masalah kajian dalam kajian kita. Sejujurnya ramai yang keliru antara kedua terma ini dan penting sebenarnya untuk kita membezakan antara keduanya. Walaupun nampak macam sama, sebenarnya ada perbezaan antara keduanya. Eh..jangan berkerut dahi..jangan risau, sensei terangkan satu persatu ya.
Sensei bawakan satu analogi untuk kita fahamkan situasi ini. Katalah anakanda kita sakit perut dan mula mengalami cirit-birit. Kemudian anakanda mula mengalami kejang perut, muntah-muntah dan demam. Sudah tentu kita dah mula risau kan. Apa yang kita buat? Ya, kita bawa anak berjumpa doktor. Doktor seperti biasa akan tanya "Anak sakit apa?" hehe...jadi kita terangkan apa yang berlaku pada anak kita. Apa yang kita terangkan itu dinamakan sebagai simptom atau tanda-tanda kepada sesuatu masalah sebenar yang belum dikenalpasti. Bolehlah kita katakan tanda-tanda atau simptom itu sebagai isu yang kita alami sekarang.
Kemudian doktor akan cek serba sedikit dan soal siasat sikit. Kemudian setelah berpuas hati, doktor akan prescribe ubat untuk anakanda kita. Pernah tak kita tanya doktor "Apa punca yang sebenarnya doktor anakanda saya ni cirit-birit?" eh..takkan tak pernah. Kalau sensei itu soalan wajib tu. Jadi doktor kemungkinan terangkan yang anakanda kita mungkin keracunan makanan. Makanan yang terdedah boleh mengandungi pelbagai jenis virus, bakteria atau parasit. Bakteria itulah yang menyebabkan anakanda kita mengalami simptom cirit birit tersebut. OK, so ini masalah sebenar yang kita perlu tangani. Cirit-birit (isu) akan selesai apabila kita menangani jangkitan bakteria (masalah sebenar).
Jadi apa yang kita nak selesaikan ialah masalah sebenar..bila berjaya menangani masalah sebenar maka isu juga akan boleh diselesaikan. Jelas? Kalau dah jelas mari sensei terangkan dalam konteks kajian pula.
Isu Kajian vs Masalah Kajian
Katalah sensei ambik contoh ya satu isu dalam kajian PhD sensei, iaitu penurunan peratus pelajar yang mengambil subjek Biologi sebagai subjek elektif di tahap menengah atas. Ini merupakan isu/simptom/tanda-tanda (sama macam cirit-birit).
Gambar 1: Slaid VIVA sensei yang memaparkan isu utama dalam kajian. |
Masalah sebenar yang menyumbang kepada penurunan ini ialah miskonsepsi bahawa Biologi merupakan subjek yang menghafal dan proses yang abstrak di dalam Biologi sukar difahami oleh pelajar (sensei ambik dua contoh sahaja). Ini merupakan masalah sebenar iaitu sama dengan analogi kita tadi iaitu jangkitan bakteria.
Gambar 2: Slaid VIVA sensei yang memaparkan masalah kajian. |
Maka, kajian kita bertujuan untuk menyelesaikan dua masalah iaitu miskonsepsi dan kesukaran memahami proses Biologi. Sekiranya kajian kita boleh merangka kaedah, strategi atau pendekatan yang baru untuk menangani masalah yang disebut di atas maka isu penurunan kemungkinan besar boleh ditangani. Dalam kes kajian sensei, sensei mencadangkan strategi pengajaran melalui modul multimedia untuk menjadikan proses biologi yang abstrak lebih senang difahami oleh pelajar. Bila dah jelas antara isu dan masalah barulah kita boleh cadangkan langkah untuk menyelesaikan masalah tersebut. Dari sini, idea untuk kajian boleh mula dikembangkan sehingga menjadi satu kajian yang komprehensif. Ok tak ni?
Apabila menulis pengenalan dan penyataan masalah maka bolehla ingat analogi yang sensei bagi ni ya. Kupaslah beberapa isu yang dominan dan terkini dalam bidang kajian kita. Kemudian kemukakan beberapa masalah yang menjadi punca utama kepada isu yang telah dikupas untuk kita selesaikan melalui kajian kita.
Sensei rasa, setakat ini cukuplah untuk membuatkan sahabt-sahabat faham perbezaan asas antara isu dan masalah kajian. Bolehla mula menulis penyataan masalah untuk kertas cadangan ya. Ada apa-apa kekeliruan bolehlah rajin-rajin tanya sensei dengan lebih lanjut.
Ingat! isu adalah cirit birit. manakala masalah sebenar ialah jangkitan bakteria yang menyebabkan cirit-birit.
Isu = Cirit-Birit
Masalah sebenar = Jangkitan bakteria
Tu diaa..analogi tak agak-agak.
Bukan apa, nak suruh you all mudah ingat. Chill!
#TheSensei